Saturday, August 8, 2009

Cerdek ep 2: Dah Terlambat.. Ke?

"Ummi, salah ke apa yang Aufa buat? Tiba-tiba pinangan datang, dan orangnya memang family Aufa berkenan. Aufa cuba menjauhi cinta sebelum halal, dan menerima Akhi demi suatu yang diredhai Allah dan keluarga. Salah ke Ummi?" Aufa bertanya bertalu-talu. Buah epal pencuci mulut itu tiba-tiba terasa keras dan pahit. Hatinya mulai sebak. Panas telinganya apabila Ummi bersoal-jawab dengannya, seolahnya dia membuat kesalahan.

"Aufa, jangan ada zhon, nak. Ummi bukan bertanya untuk menyalah-nyalahkan Aufa. Sekadar ingin bertaaruf lebih lagi, kerana tempoh hampir 2 tahun ini belum begitu mencukupi untuk Ummi kenal Aufa dengan lebih dekat lagi. Aufa kan nak memasuki alam baru. Apakah ada larangan bagi seorang murobbiah menyelami hati budi anaknya sendiri?" Ummi menangkis. Bijak. Tangannya yang tadinya ligat menyusun pinggan tiba-tiba berhenti. Senyum dilempar ikhlas, membuatkan Aufa menunduk. Kakinya menguis-nguis lantai.

"Tentulah tak salah, kerana keinginan mendirikan baitul muslim itukan sesuatu yang begitu suci. Malah ini suatu berita yang terlalu Ummi syukuri! Masha-Allah, anak usrah Ummi bakal walimah. Bahkan inilah berita terbaik buat dakwah ini, Aufa," Ummi menyambung bicara sambil tangannya menyambung kembali mengemas meja makan. Lembut gayanya, senyuman memang sentiasa menguntum di wajah. 'Pasti menyejukkan hati Pakcik,' sempat Aufa menerawang ke mana saja, bermonolog di dalam hati.

"Habis tu, kenapa Ummi tanya macam Aufa ada buat yang tak kena...?" suara Aufa sedikit kendur. Epal dikunyah semula, namun matanya masih tidak berani menentang ekor mata Ummi.

"Aufa ada buat yang tak kena ke? Insha-Allah takde kan...?" Ummi menduga. Aufa menggelabah. Ummi menyambung,"kebaikan adalah apa yang menenangkan diri dan hati; sedangkan kejahatan adalah apa yang menggelisahkan di dalam dada. Tanyalah hatimu, Aufa. Hanya Aufa dan Allah saja yang tahu."

"Err kenapa Ummi kate walimah Aufa suatu yang Ummi syukuri? Sebenarnya Akhi bukanlah ikhwah aktif. Kami sama-sama mengikuti tarbiyah di sana tapi honestly Aufa rasa kami ni disibukkan dengan akademik. Entahlah, bila dah hampir ni Aufa rasa tak confident pula Ummi. Dia dah tak ikut tarbiyah sekarang,"Aufa mulai mengizinkan hatinya diteroka. Sebegitu lama ingin dikongsikan perasaan itu, namun baru sekarang the right person ada.

"Aufa... Jodoh inikan suatu yang unik. Dicipta Allah sejak dari rahim ibu lagi, sepertinya rezeki yang lain. Jika benar inilah jodohnya, mungkin Aufa kena ingat seperkara yang Ummi hendak sampaikan ini. Sisipkanlah azimat ini di hati kemas-kemas. Inilah bekal buatmu, sepanjang meneroka denai tarbiyah dengan seorang insan bernama 'Suami' kelak", bicara Ummi mulai serius. Alunan jantung Aufa mulai mengatur rentak kencang. 'Azimat apakah?'

"Errm. Apa dia Mi?" Aufa mulai dihurung perasaan inkuisitif.

"Ingatlah, kita dan suami akan saling melengkapi, sama-sama mencukupkan kurang dan ruang di mana-mana. Apabila terhentinya sifat saling melengkapi dan cukup-mencukupkan ini, itulah petanda bermasalahnya sebuah ikatan. Maka Aufa haruslah sentiasa ingat.. Mungkin Aufa sebenarnya amat kuat untuk menjadikan dia mujahid dakwah yang diimpikan.Sama-samalah kalian menyusur denai tarbiyah ini. Insha-Allah, para murobbi sentiasa ada untuk kalian...Mulailah fasa rumahtangga dengan suatu impian yang benar dan besar, demi islam." begitu panjang sekali luahan Ummi. Mendalam dan cukup mengesankan, hingga detak-detak jantung aufa terasa begitu kencang.

"Ummi, sebenarnya dulu kami selalu Y!M dan emel. Terkadang isinya terlalu peribadi... Cinta, rindu, sayang. Maklumlah, semuanya bermula dari masa silam kami... Kadang terlepas, tak boleh nak kawal. Dan sekarang Aufa takut. Ustaz kata barokah dalam rumahtangga bermula sejak dari perhubungan sebelum nikah itu sendiri. Apakah halal atau sebaliknya. Aufa rasa macam dah terlambat la Ummi.. Dah terlambat ke?"

* * *

No comments: