Monday, October 10, 2011

Bukan Dia Tak Mahu








Allah bukan tidak menjawab segala doa, segala solat hajat, segala aduan, segala permintaan. Dia Maha Mendengar, dan tiada tempat pengaduan yang lebih baik daripada Dia. Tinggal, Dia itu juga bukan sekadar Maha Mendengar, bukan sekadar Maha Pemakbul Doa, tetapi Dia juga adalah Yang Maha Tahu Atas Segala-galanya. Dia Maha Tahu bilakah waktu yang sesuai untuk menjawab doa kita, untuk memakbulkan permintaan kita. Dia Maha Tahu kemampuan kita, sampai bilakah kita mampu bertahan. Dia Maha Tahu, apakah manfaatnya ujian yang Dia turunkan kepada kita.

Sebab itu, lihatlah firman-firmanNya berkenaan dengan ‘kelewatan’ pertolonganNya. Semua punya bonus.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.