Monday, July 20, 2009
POHON
posted by: kak PIJA
Akhir-akhir ini, pelbagai perkara yang berlaku. Perkara yang apabila kita bertenang, kemudian menarik nafas panjang dan meleraikan kekusutan yang berkecamuk di kepala, sebenarnya kita boleh tersenyum kerananya…
Rindunya pada dia yang pernah menunjukkan pada diri ini bahawa kita boleh menjadi pohon yang berbuah rendang. Yang apabila dibaling batu, membalas dengan buah yang masak ranum. Kami bertemu kerana kami punya cita-cita yang sama, walaupun kami ini berbeza kabilah…
Terdapat satu peristiwa yang tidak mungkin terluputkan dari ingatan. Lidah ini, tanpa sedar telah mengguris hatinya dengan kata-kata yang pelik. Kenapa pelik? Kerana (baruku sedar) hanya orang-orang yang pelik-pelik saja yang berkata-kata begitu…
“Astagfirullah! Istigfar ukhti, istigfar!”
Goncangan terasa cukup kuat, bukan sekadar menggegarkan tubuh ini, namun turut sama menggegarkan rasa yang terdalam.
“Terlalu banyak persamaan kita, kenapa hanya perbezaan yang sedikit itu yang enti nampak? Di mana berlapang dada enti?”
Jelas kelihatan air jernih disudut matanya. Dia segera berlalu. Mungkin membawa hati yang luka.
Astagfirullah… kertas dicapai, dan satu garis lurus dibuat. Disudut kiri ditulis SAMA, dan kanan pula BEZA. Benar katamu… bahagian sebelah kanan hampir saja kosong jika bukan kerana satu atau dua perkataan. Namun, perkataan itulah yang dikorek-korek, hingga menjadi luka yang membusung. Sehingga bernanah-nanah dan mengeluarkan bau yang busuk. Bukankah Rasulullah pernah menegur Muhajirin dan Ansor untuk meninggalkan seruan jahiliyah itu? Kenapa tidak diambil pengajaran dan masih menjadi PELIK?
Maafkan wahai ukhti, kiranya diri ini terlupa seketika pesan itu… kiranya, diri ini terlalai pada kata-kata yang selalu diulang-ulang… bekerja sama atas perkara yang disepakati, berlapang dada pada perkara yang diperselisihkan…
Petang itu enti pulang bersama buah tangan yang sangat banyak dan senyum manis yang paling menawan. Jazakillah ukhti, kerana pengertian… kerana sudi memaafkan… kerana memberi peluang…
Alhamdulillah, kita telah dipertemukan seawal menjejakkan kaki ke Negara Antah Berantah ini. Rupanya, itulah antara bekalan yang penting yang diperlukan…
***
Masjid Biru ini memang sentiasa penuh terutamanya pada waktu-waktu solat begini. Tiba-tiba, satu suara yang familiar memberi salam. Rupanya seorang kakak senior dalam kabilah, yang sama-sama baru selesai berjemaah. Selepas bertukar khabar, dia bertanya.
+“Dah mula ‘bekerja’ di sini?”
-“InsyaAllah, Alhamdulillah.”
+“Mesti dah berlaku bertembungan dengan kabilah sebelah.”
-“Ana tak faham.”
+“Belum pernah bergaduh dengan mereka ke? Kalau belum maknanya enti belum betul-betul bekerja lagi.”
Ana tersengih. Aduhai kakakku…
-“InsyaAllah setakat ni ana rasa ana sudah bekerja, tapi belum ada perselisihan macam yang akak cakap tu.”
+“Maknanya belum betul-betul lagilah tu. Indikator bekerja di Negara Antah Berantah ni adalah bila kita sudah bertembung dengan mereka. Barulah betul-betul bekerja namanya.”
-“Kelakarlah akak ni. Indikator tu tak pernah ana dengar. Memang ana faham, siapa yang bekerja dia akan berdepan dengan masalah, tapi bukan bercakar sesama sendiri.”
+“Enti belum faham lagi. Istilah sesama sendiri tu tak sesuai. Waqi’ di sini memang macam tu. Mereka akan cuba bergaduh dengan kita.”
-“Kalau begitu, ana pilih untuk tidak faham sajalah. Jika ada yang mahu bergaduh, biar mereka bergaduh sorang-sorang. Ana nak berkawan. Jika semua orang pun begitu, biarlah ana yang mengubahnya, bermula dengan diri ana sendiri.”
+“Nampak sangat enti masih baru dan tidak faham apa-apa.”
-“Jazakillah kak. Beruntunglah ana sebab masih baru dan tidak faham. Mujur juga sebab kalau tidak mesti ana pun praktikkan benda yang sama…”
Bicara petang itu membuatkan diri teringat pada peristiwa yang membekas dihati ini. Hp menerima mesej yang sangat panjang, penuh dengan kata-kata benci dan meluat.
“…Harap selepas ni enti jgn hubungi ana lagi. Ana sudah ber‘janji’ untuk tidak mendengar dan bercakap dengan enti lagi…”
Kala itu, ukhti yang dirindui sedang bersama menikmati minum petang (yang sebenarnya breakfast, lunch dan dinner kita juga hari itu). Enti tersenyum sambil berkata,
“Islam itukan menganjurkan persaudaraan dan dakwah kita adalah dakwah kasih sayang…” Sambil menepuk bahuku, enti berkata penuh makna;
“Hei Daie… hati jangan sejemput!!!”
Esoknya, di dewan kuliah. Nota pendek tulisan tangan (yang tidak berapa cantik itu) dilipat kemas, kemudian diselitkan pada buku ukhti yang menghantar sms semalam. Nota itu punya dua perenggan, dimulai dengan ayat,
“…enti cuma janji untuk tidak berjumpa dan bercakapkan? Jadi apa kata ana menulis surat?…”
Dan tengah hari itu, kami solat berjemaah bersama-sama disurau fakulti.
Walaupun kami berbeza kabilah, namun kami yakin. Jika suatu hari nanti, tibanya masa untuk kami bekerja bersama, maka perkara itu adalah mudah untuk kami lakukan.
Kerana antara kami,
tiada perselisihan,
tiada luka atau guris yang memedih,
tiada rasa superior atau inferior antara satu dengan yang lain…
yang ada cuma rasa kasih sayang yang mendalam,
kerana ukhuwwah kami fillah…
kerana pada pandangan mata kami yang baru dan mentah ini,
kami adalah ‘sesama sendiri’…
sama ada memandang atau dipandang,
yang jelas tertera pada kami,
adalah kami punya cita yang sama…
***
Teringat kepada adik yang sedang berada jauh di mata. Seringkali bila nombor seberang laut tertera di hp, hati menjadi risau. Musibah apa pula yang melanda kali ini? Dan setiap kali itulah yang mampu dipesan adalah; Sabar, Ikhlas dan perhatikan Akhlak…
Dalam air mata dan sendu kamu itu, kamu diingatkan kepada akhlak…
kenapa ia juga penting? Sepenting sabar dan ikhlas? …
Kerana kita bersaudara dik…
kerana bapa kita adalah ISLAM dik…
insyaAllah kita akan bersatu suatu hari nanti…
dan jika kita menjaga akhlak kita,
insyaAllah, usaha ke arah itu akan lebih mudah.
Kerana kita tidak perlu segan dan malu dengan kesilapan lalu,
dengan terkasar bahasa dan hati yang terguris…
(ke, memang tidak terlintas bahawa suatu hari nanti kita akan bersatu? Huhuhu, nauzubillah…)
Adik sedihkah diri dihina? Adik sedihkah diri diasingkan? Adik sedihkah dikatakan asing? Adik sedihkah dengan semua yang pelik-pelik itu? Hati adik pedihkah dengan kata-kata itu?
Adikku, dengar baik-baik ya…
“Hey daie… hati jangan sejemput!!!”
***
Untuk diri sendiri, jgnlah tutup mata, telinga, dan terutama sekali hati… untuk terus menerus mencari dan mendapatkan kebenaran… kebenaran itu, walaupun pahit, akan tetap benar… teringat seawal-awal mengenal madrasah ini, diri bertanya kepada sorg dia yang dipanggil murobbi… “Kita ini siapa?” jawab dia sambil tersengih, “Kita adalah penegak yg hak, penolak kebatilan!”
Ukhti yang dirindui… Jazakumullah hu khairan jaza untuk mu (dan ramai lagi sebenarnya di luar sana, yang pernah ditemui atau insyaAllah akan ditemui ) kerana menunjukkan bukti bahawa membalas perbuatan buruk dengan balasan baik boleh dilakukan. Dan ianya mudah dilakukan serta memudahkan… jika tidak melihat dengan mata kepala sendiri, entah sampai bila ungkapan-ungkapan itu hanya tinggal teori-teori kosong… Alhamdulillah…
Ana rindu enti, dan sindiran itu…
“Hei daie… hati jangan sejemput!!!”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment